Suami datuk bandar dibunuh

myMetro

Lemery (Filipina): Suami kepada seorang datuk bandar ditembak mati dan empat lagi cedera dibom dalam insiden keganasan yang berasingan dikaitkan dengan pilihan raya pertengahan penggal di Filipina minggu depan, kata polis semalam.
Serangan itu berlaku ketika polis meningkatkan tahap berjaga-jaga ekoran bimbang lebih banyak keganasan tercetus sebelum hari undian pada 13 Mei depan. Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati John Apura dalam satu serang hendap ketika dia berkempen untuk isterinya di Pulau Panay di tengah negara itu, kata Ketua Polis pulau itu, Cif Superintendan Agrimero Cruz dalam satu kenyataan. Menurutnya, seorang pembantu turut terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan itu.

Isteri Apura, Ligaya bertanding dalam pilihan raya di bandar Lemery di Panay dan memberitahu polis mereka ada menerima ancaman bunuh.
“Ia serangan bermotifkan politik kerana suami saya ada menerima ancaman bunuh sebelum itu,” katanya yang akan bertanding di bawah gabungan pembangkang.

Dia juga berkata, lelaki bersenjata turut mengancam penyokong politiknya walaupun tidak mengenal pasti siapa dalang di sebalik keganasan itu.

Dalam satu lagi insiden, sebutir bom dilontar ke arah kediaman datuk bandar bandar Lamitan, Roderick Furigay di pulau selatan Basilan lewat malam kelmarin dan mencederakan empat orang, kata Ketua Polis Lamitan, Cif Inspektor Almer Ismael. Furigay sedang bertemu penyokongnya ketika kejadian berlaku. Furigay yang juga anggota parti gabungan Presiden Benigno Aquino bagaimanapun, tidak cedera.
Rakyat Filipina akan menghadapi pilihan raya minggu depan bagi mengundi lebih 18,000 jawatan daripada datuk bandar hingga kepada anggota Parlimen. Persengketaan politik adalah perkara biasa terutama di kawasan luar bandar. - AFP

Posting Komentar