Gambar Majlis Pertunangan Syafiq Anak Datuk Yusof Haslam dan Aeisyah Zainal

Anak kepada pengarah filem terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof mengikat tali pertunangan dengan rakan kolejnya, Aeisyah Zainal di rumah tunangnya di Gombak, Selangor semalam.

Pada majlis tersebut, Syafiq, 20, yang juga seorang pengarah filem sudah dua tahun menjalin hubungan cinta dengan Aeisyah, 20, memberi tunangnya sebentuk cincin yang disarungkan oleh ibunya, Datin Fatimah Ismail beserta tujuh dulang hantaran.
Gambar tunang Syafiq Yusof, Aeisyah Zainal
Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Syafiq yang mengarahkan filem berjudul Sam berkata, dia dan tunangnya merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun hingga dua tahun dari tarikh pertunangan mereka.

"Syukur kerana majlis pertunangan berjalan dengan lancar. Saya harap agar pertunangan ini sampai ke jenjang pelamin.

"Insya Allah sama ada hujung tahun depan atau 2014 kami akan berkahwin," ujarnya gembira ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kementerian Beri Jaminan Palsu Kpd Graduan GSTT


KUALA LUMPUR – Parti DAP mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan memberi jaminan palsu kepada lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sedang menunggu untuk mendapatkan penempatan sejak Mei lalu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching mendakwa, Kamalanathan pada 30 September lalu memberi jaminan bahawa semua graduan GSTT terbabit akan dipanggil menjalani proses temuduga bermula bulan ini.

“Beliau (Kamalanathan) juga memberitahu senarai calon telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga akan dijalankan pada bulan Oktober dan penempatan bermula Januari tahun depan.

“Bagaimanapun, masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga itu ingga sekarang dan pegawai jabatan bertanggungjawab juga tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menganjurkan kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) untuk guru sandaran bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Kursus itu diberikan kepada seramai 2,017 guru sandaran di bawah kategori sekolah rendah dan 4,003 di bawah kategori sekolah menengah dengan rancangan menempatkan mereka di sekolah-sekolah yang kekurangan guru sebagai guru tetap sejurus tamat pengajian.

Nie Ching seterusnya mendakwa, ramai dalam kalangan graduan GSTT terbabit kini hidup dalam keadaan tertekan sejak Mei lalu kerana terpaksa menganggur tetap dalam masa sama terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi terutama dalam kalangan mereka yang telah berkeluarga.

Dakwanya, tinjauan tidak rasmi menunjukkan terdapat banyak keperluan menambah bilangan guru disekolah-sekolah tetapi malangnnya tenaga lebih 6,000 pengajar terlatih ini tidak digunakan.

Justeru beliau menggesa Kementerian Pendidikan membuat perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu sekali gus memberi penempatan kepada semua graduan GSTT terbabit.

“Jika tidak, perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan kerajaan dalam membuat perancangan yang sempurna lalu dan satu lagi perkara yang membazirkan sumber negara,” dakwanya.

Bila hijab mata dibuka

Kejadian histeria melibatkan 35 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang yang bermula sejak Mei lalu membuatkan fikiran kita kembali terarah kepada gangguan ini.






SEMASA artikel ini dinukil, masih terngiang-ngiang di pendengaran penulis akan lolongan menggerunkan seorang pelajar perempuan yang seakan mendesak azan Isyak dihentikan kala penulis menuntut di sebuah sekolah berasrama sedekad yang lalu.
Begitu juga dengan bunyi derapan langkah seribu penghuni sebuah bilik di asrama lelaki, apabila seorang pelajar tiba-tiba mengaum luar biasa sehingga membuatkan rakan-rakan sebilik lari lintang-pukang dalam kepekatan malam.
Seorang rakan penulis pula pernah menceritakan tentang sepupu perempuannya yang berusia awal 20-an tiba-tiba menjerit menjelang tengah malam, dua tahun lalu di rumahnya di Ipoh, Perak.
Sepupunya juga telah mengeluarkan suara yang keras dan bernada marah apabila dibacakan beberapa ayat al-Quran.
Hampir dua jam, sepupunya menjerit sambil menekan-nekan perut yang kelihatan seperti mengembung.
Apabila berjaya dipulihkan oleh seorang ustaz, rakan saya bertanyakan kepada sepupunya tentang apa sebenarnya yang berlaku.
"Aku nampak seorang nenek tua yang berwajah hodoh duduk kat situ, (sambil menuding jari ke arah sudut bilik yang dikatakannya). Mata nenek yang merah itu memandang terus ke arah aku. Itu yang bagi aku takut, kata sepupunya.
Pastinya, memori-memori itu kembali kuat menjengah minda kebanyakan kita ekoran kejadian histeria yang melibatkan 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang. Kejadian yang bermula sejak Mei lalu membuatkan fikiran kita kembali terarah kepada gangguan ini.
Kejadian misteri ini memperlihatkan sebilangan pelajar yang terlibat menjerit-jerit, bertutur dengan nada keras, meracau secara tiba-tiba, mengadu sakit sendi, berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua yang uzur, berjalan terhoyang-hayang lalu rebah di lantai dan meronta-ronta seperti dirasuk.






Lebih teruk lagi, ada yang mendapat kesan lebam dan gigitan di bahu serta bertindak agresif dengan cuba memanjat pagar sekolah. Keadaan ini sekali lagi memaksa kita cuba merungkai selirat misteri di sebalik kenapa histeria berlaku.
Biasanya, kejadian histeria sering dilihat daripada dua perspektif iaitu saintifik (psikologi) dan mistik.
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Zain, histeria berlaku ekoran stres yang teramat sangat, disulami konflik lama yang terbuku di dalam diri yang tidak dapat diselesaikan atau diluahkan.
"Antara punca histeria ialah mangsa telah lama menghadapi tekanan yang teramat sangat hasil daripada himpunan konflik lama yang tidak dapat diselesaikan. Jadi, histeria dilihat sebagai salah satu cara untuk meminta tolong.
"Rasa takut dan percaya kepada perkara-perkara seperti dirasuk hantu memudahkan lagi berlakunya histeria terhadap seseorang individu,"katanya sambil menjelaskan histeria boleh berlaku kepada seorang individu dan secara beramai-ramai (histeria epidemik).
Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, ia mungkin masih belum menjelaskan kemusykilan yang timbul. Persoalan seperti bagaimana ia boleh berlaku terhadap ramai pelajar dalam masa yang sama agak menghairankan.


KERATAN akhbar kejadian histeria si SMK Tanjung Lumpur, Kuantan baru-baru ini.




Lebih aneh, apabila pemeriksaan mendapati memang ada kesan lebam seperti gigitan pada bahu mangsa. Barang kali, ada sesuatu di luar logik akal yang memainkan peranan.
Bukan menafikan faktor saintifik, namun kepercayaan kepada wujudnya kaitan hal ini dengan makhluk halus seperti syaitan dan jin mungkin boleh dipertimbangkan untuk menjawab kenapa histeria berlaku. Golongan manusia dan golongan jin (termasuk syaitan) merupakan makhluk yang Allah jadikan seperti mana yang dinyatakan di dalam al-Quran. Perkataan syaitan disebut sebanyak 88 kali dan perkataan al-jinn atau al-jinnah disebut 39 kali dalam kitab suci itu.
Syaitan dan jin boleh mendatangkan gangguan dan kemudaratan kepada manusia berdasarkan firman Allah dalam surah al-Fussilat: "Dan, jika syaitan mengganggu kamu dengan sesuatu gangguan, maka pohonlah perlindungan Allah, sesungguhnya Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". Surah Al-Baqarah ayat 102 pula menyatakan bahawa syaitanlah yang mengajar manusia akan amalan sihir.
Syaitan yang dilaknat Allah telah berjanji untuk menyesatkan manusia sejak zaman Nabi Adam a.s dan Allah telah memperkenankan kemahuannya untuk dipanjangkan umur bagi menyesatkan manusia. 



AKTIVITI kerohanian dapat membantu menguatkan rohani. - Gambar hiasan



Manusia, secara umumnya, tidak dapat melihat dengan mata kasar makhluk halus ini. Namun, apabila hijab atau tabir mata dibuka, barang kali itulah permulaan berlakunya histeria.
"Kebanyakan mereka yang histeria, segala-galanya bermula apabila mereka melihat sesuatu lembaga. Ia dipercayai berlaku apabila makhluk halus berkenaan mahu dirinya diperlihatkan kepada manusia yang dikehendakinya. Maka terbukalah hijab mata manusia tersebut," kata pengamal perubatan Islam yang juga merupakan imam di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, Mohd. Azri Ahmad Kamil Al-Hafiz kepadaKosmo! baru-baru ini. Kata-katanya mengingatkan penulis kepada aduan beberapa mangsa histeria SMK Tanjung Lumpur yang melihat nenek kebayan sebelum mereka diserang histeria.
"Bagaimanapun, bukan semua orang yang dapat melihat makhluk halus itu akan diserang histeria. Bergantung juga kepada semangat dan kekuatan rohani," kata Mohd. Azri, 24.
Apapun, tujuan sebenar makhluk ini mengganggu seseorang manusia tidaklah diketahui.
Tetapi, berdasarkan rawatan histeria yang pernah dilakukan, Mohd. Azri berkata, ada di antara makhluk tersebut suka mengganggu manusia, ada yang memberi alasan gemar menghuni tubuh mangsa dan ada juga yang marah kerana tempatnya diganggu.
Ditanya individu manakah yang suka disakat makhluk berkenaan, Mohd. Azri berkata, sukar untuk dikatakan tetapi beliau menasihatkan agar jangan meletakkan diri dalam keadaan terlalu takut, membiarkan diri larut dalam tekanan dan jangan terlalu berani.
"Ada juga orang yang bongkak tidak mempercayai perkara-perkara seperti ini yang diuji oleh makhluk ini," katanya.
Mohd. Azri memberitahu, mereka yang diserang histeria akan memiliki kekuatan tiga kali ganda dan menyukarkan usaha memulihkan jika mereka bertindak ganas. Mereka yang menjadi mangsa histeria juga akan mengikut karektor makhluk halus yang memasuki tubuh mereka. Jika yang masuk ke dalam tubuhnya, makhluk lelaki dewasa, maka dia akan menjadi seperti lelaki dewasa dan begitulah sebaliknya.



MENURUT psikologi, tekanan dan kepercayaan dirasuk hantu menyumbang kepada berlakunya histeria.



Ditanya tentang bagaimana rawatan yang sering dilakukannya, kalimah-kalimah suci al-Quran merupakan senjata menentang makhluk berkenaan.
"Memang ia menyakitkan mereka. Tetapi, manusia merupakan hak Allah dan mereka tidak layak untuk menceroboh tubuh kita. Setiap makhluk Allah mempunyai hak untuk tidak diganggu, dan jika diganggu, kita berhak mengenakannya semula," katanya sambil menjelaskan bahagian kedua-dua ibu jari kaki (yang dirapatkan) atau hujung kepala mangsa sering menjadi pilihan bagi pengamal perubatan untuk mengeluarkan makhluk halus kerana cara itu lebih memudahkan usaha untuk mengeluarkan makhluk itu sekali gus.
"Alhamdulillah, kebiasaannya, lepas dirawat menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dan dengan kuasa Allah, mangsa kembali pulih," katanya.
Sementara itu, pakar perubatan Islam terkenal, Dr. Amran Kasimin berkata, histeria melahirkan gejala-gejala ketidaknormalan akal dan perbuatan yang tidak dapat dikawal.
"Tanda-tanda stres dan sejauh mana kepercayaan kita kepada perkara-perkara seperti dirasuk hantu diakui boleh menjadi punca histeria seperti alasan saintifik. Tetapi apabila kenyataan bahawa orang yang terkena histeria bukan sahaja orang yang berada dalam tertekan dan bukan juga orang yang kuat mempercayainya, membuatkan hal ini tidak semestinya dipandang demikian," katanya.
"Iblis dan syaitan boleh memasuki tubuh manusia. Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dan berlari dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah, demikian yang diriwayatkan dalam sebuah hadis," tambahnya. Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal seluruh pergerakan manusia dengan izin Allah.


SEBAHAGIAN daripada pelajar SMK Tanjung Lumpur yang mengalami histeria dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan baru-baru ini.




Selain melihat lembaga, menurut Amran, mereka yang terkena histeria kebiasaannya sebelum itu, berada dalam dunia yang gelap, rasa seperti melayang, terdengar bunyi loceng, terasa berangin dan menggigil apabila asimilasi antara jasad manusia dan makhluk halus bersatu.
Ditanya tentang punca syaitan atau jin tersebut mengganggu, Amran berkata, memang ada di antara mereka memberitahu sebab-sebabnya seperti marah kerana tempatnya diganggu dan dihantar si polan tertentu.
"Tidak kira histeria atau kerja sihir seperti santau, cakap makhluk itu tidak semestinya betul. Bukankah kerja syaitan itu suka menyesatkan, mengapi-apikan, melaga-laga dan merosakkan hubungan sesama manusia?" soalnya.

Ganjaran Menanti Penjawat Awam Bantu Cegah Rasuah

Ganjaran Menanti Penjawat Awam Bantu Cegah Rasuah

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan ganjaran kerana memberi maklumat mengenai penawaran, pemberian atau penerimaan rasuah hanya diberikan kepada penjawat awam.
“Pengiktirafan itu diberi kepada mana-mana penjawat awam yang melaporkan mengenai penawaran atau pemberian rasuah untuk meningkatkan, menggalakkan dan sebagai motivasi kepada mereka mengikut garis panduan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 1 Jun 2011,” demikian menurut kenyataan SPRM Kedah kepada Bernama berhubung laporan akhbar mengenai perkara itu Khamis lepas.
Menurut kenyataan itu pengiktirafan itu hanya diguna pakai untuk penjawat awam sahaja dan peruntukan kepada orang awam tidak termasuk dalam garis panduan ini.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan ganjaran untuk orang awam yang melapor atau memberi maklumat mengenai rasuah kepada agensi itu.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) SPRM Kedah Yusof Shamsudin bahawa pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat menggalakkan orang ramai dan penjawat awam tampil menyalurkan maklumat kepada SPRM. – BERNAMA