Gambar Eksklusif Terakhir Mandela Bersama Cicitnya


JOHANNESBURG – Gambar Nelson Mandela tersenyum dan memegang tangan cicitnya yang berusia tiga tahun, merupakan gambar terakhir yang dirakamkan sebelum pejuang anti apartheid itu meninggal dunia.

Ia dirakamkan pada bulan Mei lalu oleh cucunya, Ndaba Mandela ketika datuknya itu sedang berehat di atas kerusi.

Menurut Ndaba, ketika melihat aksi Mandela memegang tangan  anaknya, Lewanika, dia dapat merasakan bahawa detik-detik tersebut adalah yang terakhir.

Lalu tanpa membuang masa Ndaba terus merakamkan gambar mereka berdua.

“Gambar ini akan menjadi sesuatu yang akan sangat dihargai oleh anak saya, Lewanika apabila dia sudah besar dan memahami semua ini,’’ katanya.

Ndaba berkata, pada masa itu, dia dan anaknya mengunjungi Mandela untuk bertanya khabar kepadanya.

“Ketika itu beliau sedang menonton rancangan National Geographic di televisyen dan selepas melihat mereka datang, Mandela sangat gembira.

“Beliau sangat sukakan kanak-kanak dan selepas melihat Lewanika, beliau memanggil cicitnya itu dan terus memeluk anak saya,’’ kata Ndaba.

Jelasnya, anaknya itu memanggil Mandela `Baba’ dan detik-detik tersebut amat menyentuh hatinya.

Ndaba,yang juga pengerusi Yayasan Pembangunan Afrika memberitahu, dia berasa bangga kerana dapat menunjukkan gambar tersebut kepada dunia.

Sementara itu, seorang lagi anak Mandela, iaitu Zindzi, 53, pula berkata, bapanya itu sangat sayangkan kanak-kanak dan pernah meminta untuk menjaga anaknya.

“Pada masa itu, bapa saya baru dibebaskan dari penjara dan beliau meminta saya supaya berhenti menyusu badan agar dia dapat menjaga anak saya setiap malam.

“Bapa saya akan tersenyum dan ceria setiap kali kanak-kanak mengelilinginya dan dia tidak kisah jika mereka memanjatnya,’’ kata Zindzi.

Mandela meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan terlantar di atas katil.

Penyakit itu mula dikesan ketika dia berada dalam penjara dan diserang jangkitan paru-paru selepas beberapa bulan ditahan di dalam bilik gelap di dalam penjara.

Pejuang demokrasi itu yang juga penerima anugerah Nobel. dipenjarakan selama 27 tahun kerana berjuang menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan.

Posting Komentar