Kementerian Beri Jaminan Palsu Kpd Graduan GSTT


KUALA LUMPUR – Parti DAP mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan memberi jaminan palsu kepada lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sedang menunggu untuk mendapatkan penempatan sejak Mei lalu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching mendakwa, Kamalanathan pada 30 September lalu memberi jaminan bahawa semua graduan GSTT terbabit akan dipanggil menjalani proses temuduga bermula bulan ini.

“Beliau (Kamalanathan) juga memberitahu senarai calon telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga akan dijalankan pada bulan Oktober dan penempatan bermula Januari tahun depan.

“Bagaimanapun, masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga itu ingga sekarang dan pegawai jabatan bertanggungjawab juga tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menganjurkan kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) untuk guru sandaran bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Kursus itu diberikan kepada seramai 2,017 guru sandaran di bawah kategori sekolah rendah dan 4,003 di bawah kategori sekolah menengah dengan rancangan menempatkan mereka di sekolah-sekolah yang kekurangan guru sebagai guru tetap sejurus tamat pengajian.

Nie Ching seterusnya mendakwa, ramai dalam kalangan graduan GSTT terbabit kini hidup dalam keadaan tertekan sejak Mei lalu kerana terpaksa menganggur tetap dalam masa sama terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi terutama dalam kalangan mereka yang telah berkeluarga.

Dakwanya, tinjauan tidak rasmi menunjukkan terdapat banyak keperluan menambah bilangan guru disekolah-sekolah tetapi malangnnya tenaga lebih 6,000 pengajar terlatih ini tidak digunakan.

Justeru beliau menggesa Kementerian Pendidikan membuat perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu sekali gus memberi penempatan kepada semua graduan GSTT terbabit.

“Jika tidak, perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan kerajaan dalam membuat perancangan yang sempurna lalu dan satu lagi perkara yang membazirkan sumber negara,” dakwanya.

Posting Komentar